Header Ads

Forex XM
  • "Cikgu, Saya Dipukul Suami Pagi Tadi" - Luahan Sayu Isteri Teraniaya

    Isteri
    "Cikgu, Saya Dipukul Suami Pagi Tadi" - Luahan Sayu Isteri Teraniaya

    Dari bilik pengetua, saya melihat seorang guru perempuan tergesa-gesa berjalan masuk ke sekolah, terlewat. Lalu saya panggil untuk mengambil tahu sebabnya.

    Bila tubuh kecil sedikit kurus itu masuk ke bilik, saya melihat tudungnya sentiasa dipegang di sebelah kiri. Ditarik menutup seluruh pipi seperti menyembunyikan sesuatu. Soalan saya dibalas dengan mohon maaf dengan nada suara yang sedih.

    Bila saya bertanya untuk berkongsikan kesedihannya, dia mula bersuara.

    “Cikgu, saya dipukul suami pagi tadi,” katanya sambil membuka sedikit tudungnya menampakkan pipinya yang lebam. Bahagian tepi matanya kelihatan kebiruan.

    “Saya ibarat abdi kepada suami. Dia mengambil semua wang gaji saya, kad kredit yang dia suruh saya buat untuknya. Dia berbelanja sesuka hatinya hingga belanja rumah saya anak beranak makan apa yang ada. Cikgu lihat baju saya yang tidak berganti. Saya datang sekolah dengan motosikal dihantar oleh anak. Kereta yang saya beli hanya untuk dia berfoya,” katanya tunduk dengan menangis tersedu-sedu.

    Saya beralih menahan sebab, apa lagi bila melihat lebam di pipinya bila tangannya melepaskan tudung yang menutupnya kerana mengesat lelehan air mata. Ya Allah!
    Satu kisah dari entah berapa banyak kisah sedih isteri yang dijadikan bagai abdi. Saya ingin meninjau hal ini sebagai suatu simpati dan peringatan. Jodoh pertemuan di tangan Allah, tetapi nabi mengajar kita memilih berdasarkan pegangan agama, keturunan untuk menjadi pasangan.

    Jangan main tangkap saja, tergoda oleh pujukan, harta dan janji manis kerana itu bukan keutamaan. Letaklah pilihan kekuatan pegangan agama di hadapan. Bila nak kahwin, jangan cemarkan majlis walimah dengan perkara maksiat, membazir, bermegah bimbang Allah membalasnya dengan kecelaruan hidup berumahtangga. Kerana yang buruk akan melahirkan yang buruk.

    Bila goyah istana yang dibina, menolehlah balik melihat asas binaan rumahtangga dulu sebab berkahwin itu ibadat. Mohon keampunan bila terasa silapnya. Moga kecacatan binaan ini kembali dipulihkan.

    Isteri bukan abdi, bukan sumber rezeki. Mereka menyerah diri dengan redo untuk diperlakukan sebagai isteri menurut hukum Allah. Isteri adalah perkongsian hidup bahkan terletak pada suami mencari sumber untuk hidup. Pada suami terletak punca kuasa kerana amanah dalam akad yang diterimanya dari wali wanita yang dinikahi.

    “Aku terima nikahnya,” adalah suatu ikrar bersaksi, memindah tanggungjawab seseorang yang ditatang oleh walinya. Maka si suami yang sanggup menerima tanggungjawab ini mestilah menunaikannya.

    Setiap kita adalah pemimpin, apa lagi suami dan kita akan ditanya tentang kepimpinan kita. Setiap suami akan ditanya hal kepimpinan rumahtangganya.

    Menjadikan isteri sebagai sumber hidup tanpa redhanya adalah lelaki dayus, menggunakan kuasa cerai, kuasa berkahwin lagi tanpa mengikut yang ditetapkan Allah, hanya mengikut akal dan nafsu sendiri akan diadili di hadapan Allah.

    Jika isteri curang, mudah saja, ceraikan. Tetapi jika suami menjadi musang, proses menuntut cerai amat rumit. Lebih-lebih lagi dengan karenah pejabat agama yang terkenal dengan lembabnya perkhidmatan mereka. Kes isteri yang menjadi hamba suami, dipukul sesuka hati, ditinggal mencari nafkah sendiri, terus menimbun menjadi fail yang hanya Allah tempat berserah. Apa pun, mereka yang sebegini sepatutnya bangun menuntut hak di Mahkamah Syariah, menggunakan semua saluran yang ada sebagai satu ikhtiar.

    Akhirnya, simpati saya kepada semua isteri yang terasa teraniaya. Bermuhasabahlah diri, mohon keampunan atas kesilapan lalu. Mohon Allah bukakan jalan keluar, berusahalah dengan apa yang terdaya tetapi letaklah pengharapan tinggi kepada Allah untuk mengubah. Sesungguhnya yang mengubah hati manusia hanyalah Allah.

    Lelaki yang bersembunyi di balik kuasa aku suami, wajib kena taat, bersembunyi di sebalik kuasa aku boleh kahwin lagi sebagai ugutan, bahkan menambah isteri sebagai kebanggaan, lelaki yang membiarkan isteri bergelut mencari rezeki untuk menyuap anak, tunggulah akan sampai juga kamu ke Mahkamah Allah jika pun kamu tidak terseret di Mahkamah Syariah di dunia ini.

    Sharekan untuk peringatan dan teguran secara lebih lembut kerana kes begini sukar ditegur berdepan. – Abd Ghani Haron

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad