Header Ads

Forex XM
  • "Ayah, Beg Dah Koyak, Boleh Tak Belikan Yang Baru?"

    post-feature-image
    "Ayah, Beg Dah Koyak, Boleh Tak Belikan Yang Baru?"

    "Ayah, beg dah koyak, boleh tak belikan yang baru?" tanya seorang anak kepada ayahnya dengan penuh harapan.

    "Alah, jahitlah dulu, harga beg sekarang mahal, ayah ni bukannya ada duit sangat. Pakai je yang mana ada dulu," jawab ayahnya acuh tak acuh dan anak itu berpaling dengan wajah hampa.

    Petang itu, ayah anak itu ke kedai basikal berhampiran rumahnya, ternampak pula satu set 'Fulcrum Zero' yang baru untuk 'road bike' miliknya. Terus disambar tanpa berfikir panjang walaupun harganya boleh tahan.

    Pulang ke rumah, terus dipasangnya 'wheelset' tersebut sambil diperhatikan oleh anak-anaknya, termasuklah oleh anak yang begnya telah koyak tadi. Kali ini bukan beg sahaja yang koyak, tetapi hatinya turut koyak melihat ayahnya boleh pula berbelanja besar untuk hobinya, tapi tidak pula sanggup hendak mengeluarkan wang untuk membeli beg sekolah baru buat dirinya.

    Kisah di atas hanya rekaan, namun dalam dunia realiti, ia benar-benar berlaku kepada segelintir anak-anak.

    Ada kes yang saya lihat dengan mata saya sendiri, anak-anak memendam rasa dengan si ayah yang kedekut. Bukan kerana ayah itu tiada duit, tapi terlalu berkira dengan anak-anak, sedang untuk hobi dan kepuasan sendiri seperti sport rim kereta, aksesori basikal yang mahal-mahal dan pelbagai lagi, mudah sahaja duit dikeluarkan. Tambah-tambah malang jika si ayah juga kedekut dengan masanya bersama anak-anak.

    Untuk program lain bersama kawan-kawan atau program-program jabatan berjam-jam lamanya, boleh sahaja disusun masa, tapi untuk bermain bersama anak-anak, berbasikal bersama, membawa mereka ke mengembara atau ke tempat-tempat yang anak-anak teramat suka untuk pergi, cukup liat untuk disusun masa, ada sahaja alasan seperti penat dan tiada bajet.

    Jangan begitu wahai ayah, anak-anak memerhati dan menyimpan dendam emosi. Kelak bila anak-anak telah membesar dan kita pula telah tua, jangan berkecil hati andai anak-anak kedekut masa dan wangnya dengan kita pula.

    Jangan berkira dengan anak-anak, dan jika ingin berjimat atau mengajar anak berjimat, tunjukkan contoh terlebih dahulu. Jangan kita beralasan itu dan ini ketika anak-anak meminta dibelikan buku atau mainan tapi pada masa yang sama kita sanggup pula berbelanja besar untuk kepuasan diri sendiri.

    Mesej-mesej dari qudwah yang bertentangan begini hanya akan mengelirukan anak-anak dan membuat mereka makin jauh. Apa yang mereka faham adalah 'aku tidak penting dalam hidup ayahku', dan anak-anak akan mula mencari tempat lain sebagai tempat dirinya bergantung.

    Jangan kecil hati bila anak-anak telah besar dan membawa diri, tiada wang bulanan yang diberi, dan tidak pula sudi dia meluangkan banyak masa untuk menjenguk ayahnya yang telah tua di rumah.

    'What you give, you get back.' - Hisham Sharif

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad