Nelayan Rogol Anak, Dipenjara 115 Tahun Dan 24 Sebatan


Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara selama 115 tahun dan 24 sebatan terhadap seorang nelayu sungai di atas lima pertuduhan sumbang mahram dan merogol anak kandungnya sejak 2013 hingga Oktober lalu. 

Tertuduh berusia 53 tahun dari Kampung Tebat, Pekan sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua Mahkamah Sesyen berasingan. 

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen 1, Hakim Datuk Unaizah Mohd menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun terhadap tertuduh bagi dua pertuduhan melakukan sumbang mahram anak gadisnya yang ketika kejadian berusia 16 tahun pada 20 Oktober 2013 dan 24 Oktober 2014. 

Tertuduh melakukan perbuatan itu pada jam 8.30 malam di rumah rakit, tepi Sungai Pahang, Kampung Tebat, didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan. 

Hakim Datuk Unaizah Mohd menjatuhkan hukuman masing-masing 20 tahun penjara bagi setiap pertuduhan itu dan memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan dijalankan berasingan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hassim.


Di Mahkamah Sesyen 4, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 75 tahun dan 30 sebatan atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya itu pada 14 dan 22 September serta 3 Oktober lalu di lokasi sama serta waktu sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun atau maksimum 30 tahun dan 10 kali sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah dan Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman dijalankan secara berasingan.

Bagaimanapun, hukuman sebatan ke atas tertuduh dikurangkan berikutan Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan seseorang pesalah hanya boleh disebat maksimum 24 sebatan.

Mengikut fakta kes, anak sulung tertuduh melarikan diri daripada kediamannya pada 6 Disember lalu kerana tidak tahan diperkosa tertuduh sejak empat tahun lalu, sebelum membuat laporan polis pada 13 Disember untuk tindakan lanjut. 

Mangsa juga mendakwa telah dipukul dan ditendang bagi tujuan menakutkannya, selain mengugut akan merogol adik-beradik mangsa yang lain. 

Difahamkan, mangsa ada memaklumkan perbuatan terkutuk tertuduh kepada ibunya, malangnya wanita itu hanya berdiam diri kerana bimbang dipukul suaminya. 

Sumber: The Reporter

Related Posts

Nelayan Rogol Anak, Dipenjara 115 Tahun Dan 24 Sebatan
4/ 5
Oleh