"Saya Memang Serius" - Che Ta Ceburi Bidang Nyanyian, Bakal Jadi Penyanyi


Selepas bergelar pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta bakal menceburi bidang nyanyian pula.

Che Ta akan menjadi penyanyi dengan kerjasama penyanyi yang juga komposer hebat, Hazami.

Pelakon yang juga ibu kepada tiga orang anak  itu baru-baru ini mengaku beliau benar-benar teruja dan bercampur gementar apabila memikirkan langkahnya menyertai bidang nyanyian.

Ini komen Rozita Che Wan:

"Dalam soal nyanyian ini, saya memang serius, apatah lagi Hazami juga beriya-iya mahu saya menyanyikan lagu ciptaannya.

"Sebelum ini, saya pernah didekati penggiat seni lain seperti Eddie Hamid dan Imran Ajmain yang menawarkan peluang serupa. Namun, mungkin ketika itu saya belum bersedia. Waktu itu pun, Imran mencari pelakon sebagai rakan duet dan bukannya penyanyi,"

Menurut Che Ta yang kini berumur 44 tahun, beliau sendiri amat tertarik dengan karya ciptaan Hazami, seperti Takdir dendangan Dayang Nurfaizah yang dijadikan lagu tema drama Syurga Yang Kedua.

Apabila ditanya tentang genre kesukaannya, Che Ta masih belum memutuskannya namun mengatakan balada atau irama Malaysia sesuai dengannya.

"Saya pun tak pernah terfikir nak jadi penyanyi selama ini. Jadi, mungkin lagu balada atau irama Malaysia sesuai dengan saya," 

Ketika ini, difahamkan Hazami sedang menyiapkan lagu baharu untuk Azharina, diikuti Aishah kemudiannya.

Ini kata Che Ta:

"Mungkin giliran saya akan tiba selepas Hazami menyiapkan lagu untuk Aishah,"

Rozita Che Wan yang juga isteri kepada pelakon Zain Saidin berkata dia telahpun bersedia untuk dikritik apabila mencuba nasib sebagai penyanyi.

Che Ta merupakan pelakon yang amat popular menerusi beberapa drama bergenre komedi seperti Diari Ramadhan Rafique, Kiah Pekasam dan Kak Mar.

Pelakon ini kemudian menceburi bidang perniagaan dan menjadi amat berjaya. Antara perniagaannya yang menjadi trending ialah perfume keluaran jenamanya iaitu Precious By RCW.

Sumber: Berita Harian

Related Posts

"Saya Memang Serius" - Che Ta Ceburi Bidang Nyanyian, Bakal Jadi Penyanyi
4/ 5
Oleh